Dolar Kanada sedikit meningkat dari paras terendah dua bulan berbanding US dolar, di tengah ketidakpastian yang membelenggu pasaran minyak dan pengukuhan dolar greenback.
Kemerosotan harga minyak pada sesi sebelum ini, telah menyebabkan dolar loonie menjunam ke lebih rendah. Pembatalan mesyuarat OPEC+ telah mencetuskan ketidakpastian pasaran terhadap pengeluaran minyak mentah pada masa akan datang, di mana pertemuan tersebut berakhir tanpa mencapai kesepakatan.
Kanada adalah pengeksport utama komoditi, termasuk minyak, jadi dolar loonie telah mendapat keuntungan pada tahun ini daripada pemulihan dalam harga minyak yang meningkat lebih 50%.
Bagaimanapun, kebangkitan semula US dolar susulan jangkaan optimis pasaran terhadap Federal Reserve (Fed) akan mula mengurangkan rangsangan dalam dasar monetari, menyebabkan pengukuhan loonie terbantut.
Laporan minit mesyuarat Fed pada awal pagi nanti, dijangka akan memberi petunjuk lebih lanjut mengenai unjuran bank pusat untuk kenaikan kadar faedah pada tahun 2023.
Pada sesi Eropah, dolar Kanada diperdagangkan 0.15% lebih tinggi berbanding dolar greenback yang kukuh.
Pasaran dilihat berhati-hati menjelang pengeluaran laporan minit mesyuarat, dengan memperlihatkan pergerakan matawang utama dan USD terbatas di sekitar harga yang sama.