Kerajaan Jepun merancang untuk membelanjakan lebih 30 trilion yen ($265 bilion) dalam satu lagi usaha dalam mengurangkan impak kejatuhan ekonomi Jepun daripada pandemik coronavirus.
Menurut laporan yang dipetik dari Kyodo News, pakej rangsangan itu termasuk menyediakan 100,000 yen dalam bentuk pemberian tunai kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke bawah dan memulakan semula program subsidi ‘Go To Travel’ untuk mempromosikan pelancongan domestik.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sebelum ini pernah mengatakan bahawa saiz pakej rangsangannya akan melibatkan beberapa puluh trilion yen.
Kerajaan akan membiayai langkah tersebut dengan baki dana daripada belanjawan fiskal 2020. Bagaimanapun, ia juga memerlukan kerajaan untuk menerbitkan bon baru untuk menampung sebarang kekurangan.
Dalam pada itu, kerajaan akan menyusun bajet tambahan untuk tahun fiskal semasa hingga Mac depan, dengan menyasarkan ia diluluskan oleh parlimen pada akhir Disember.
Sebahagian daripada pakej itu juga akan dilindungi oleh belanjawan awal untuk fiskal 2022 yang akan disusun pada masa yang sama.
Sementara itu dalam laporan berasingan, Bank Pusat Jepun (BOJ) menerbitkan ‘Ringkasan Pendapat’ dari mesyuarat polisinya pada bulan Oktober yang mengatakan kelemahan matawang yen baru-baru ini mencerminkan perbezaan dalam inflasi, pendirian dasar monetari antara Jepun dan negara lain.
Susulan itu, BOJ tidak mempunyai sebab untuk mengubah dasar monetarinya yang longgar kerana inflasi masih jauh daripada sasarannya.