Jualan runcit UK mencipta kejutan pada pembukaan sesi Eropah selepas data yang dinanti-nantikan pelabur itu menunjukkan bacaan yang sangat memberangsangkan pada bulan Oktober.
Setelah menguncup sebanyak 0.2% pada September, penjualan runcit di UK kembali meningkat dengan ketara sebanyak 0.8% pada bulan lepas dan juga lebih tinggi dari jangkaan untuk kenaikan hanya 0.5%.
Peningkatan ini juga merupakan yang pertama dicatatkan dalam tempoh enam bulan di UK, menunjukkan isi rumah telah mula membeli-belah menjelang cuti perayaan Krismas.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan ini adalah peningkatan dalam jualan di kedai bukan makanan sebanyak 4.2%.
Sebaliknya, jualan bahan bakar dilihat merosot 6.4% apabila penggunaan kembali ke tahap yang lebih biasa setelah mencatat pertumbuhan kukuh pada bulan September dan jualan makanan berkurangan 0.3%.
Sementara itu, jualan runcit teras (tidak termasuk bahan bakar) pula dilaporkan meningkat 1.6% pada bulan lalu berbanding jangkaan 0.6% dan penguncupan 1.9% yang dicatatkan sebelumnya.
Rekod yang memberangsangkan ini meningkatkan lagi harapan pasaran untuk melihat Bank Pusat England (BOE) mula bertindak dengan menaikkan kadar faedah, lebih-lebih lagi di tengah tekanan inflasi yang semakin tinggi.
Reaksi awal dipamerkan matawang pound pada mulanya meningkat, namun kembali dibantutkan oleh kebangkitan semula US dolar ketika memasuki sesi Eropah.