Matawang Asia didagangkan suram setelah menyaksikan perlambatan dalam pertumbuhan data ekonomi China ketika negara itu kini diancam oleh kebangkitan semula wabak coronavirus.
Pengeluaran kilang dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu meningkat 6.4% dari tahun ke tahun pada bulan Julai, susut dari pertumbuhan 8.3% yang dicatatkan sebelumnya dan juga tersasar dari jangkaan untuk menokok 7.8%.
Ekonomi China telah pulih ke tahap pertumbuhan pra-pandemik, tetapi pengembangannya semakin lemah kerana perniagaan bergelut dengan kos lebih tinggi dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan ketika peningkatan kes Covid-19 pada bulan lalu mendorong pihak berkuasa tempatan menutup dan menghentikan sementara operasi perniagaan.
Ini dapat dilihat daripada data awal bulan ini yang menunjukkan pertumbuhan eksport, yang menjadi pemacu utama kepada pemulihan China secara tidak dijangka melambat pada bulan lalu.
Sementara itu, penggunaan juga melemah dengan penjualan runcit hanya meningkat 8.5% pada bulan Julai berbanding jangkaan untuk meningkat 11.5% selepas kenaikan 12.1% pada Jun.
Dolar Aussie kembali didagangkan susut pada sesi Asia susulan pengeluaran data ini, selain turut terkesan dengan kebimbangan mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Australia, sekali gus mengurangkan keuntungan yang diraihnya pada akhir minggu lalu.
Sementara dolar kiwi pula menyusut sederhana dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada mesyuarat polisi Bank Pusat New Zealand (RBNZ) pada hari Rabu, yang dijangka akan mula meningkatkan kadar faedah setelah beberapa kenyataan hawkish sebelum ini yang menunjukkan indikasi ke arah itu.