Dagangan US dolar terus ketinggalan di belakang kebanyakan matawang utama, diheret lebih rendah oleh pasaran Wall Street yang menguat di mana S&P 500 mencapai tahap tertinggi sepanjang masa.
Hasil perbendaharaan AS dan US dolar nampaknya tidak sehaluan. Walaupun hasil bon AS 10 tahun mencatatkan peningkatan pada 1.35%, greenback pula gagal untuk mengikuti kenaikan tersebut.
Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama lain diniagakan di sekitar paras terendah satu minggu pada 92.88.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell akan memberi ucapan pada simposium ekonomi tahunan Fed di Jackson Hole pada hari Jumaat. Pelabur akan memerhatikan dengan teliti sama ada bank pusat bercadang untuk mengurangkan pembelian aset bernilai $120 bilion sebulan pada akhir tahun ini.
USD telah melonjak ke paras tertinggi 9 setengah bulan setelah didorong oleh prospek bahawa Fed akan mengurangkan pembelian bon tahun ini. Namun, optimisme tersebut goyah selepas pegawai Fed, Robert Kaplan memberitahu beliau akan mempertimbangkan semula pengurangan disebabkan virus delta, dan USD kembali merosot.
Sementara itu, kebimbangan terhadap coronavirus telah beransur-ansur mereda sejak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) memberi kelulusan penuh untuk penggunaan vaksin Pfizer.
Bagaimanapun, kajian terbaru dibuat di UK yang menunjukkan bahawa perlindungan dari vaksin semakin berkurang setelah enam bulan menerima suntikan, boleh mempengaruhi sentimen.
Matawang komoditi terus mempamerkan prestasi yang cemerlang, dengan dagangan dolar Aussie menguat pada harga 0.726, sementara dolar Kanada didagangkan sekitar 1.2600 berbanding USD.
Euro pula didagangkan lebih tinggi di sekitar harga 1.1765 berbanding US dolar, setelah menyentuh paras ketinggian satu minggu pada sesi sebelumnya.