Bank Pusat Japan (BOJ) menutup tirai mesyuarat polisi minggu ini dengan mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan berhasrat untuk mengurangkan pembiayaan pandemik kecemasannya.
Susulan mesyuarat polisi yang berlangsung ketika sesi Asia, para penggubal dasar bersetuju untuk menetapkan kadar pada -0.10% dan sasaran hasil bon 10 tahun pada sekitar 0% dengan 8 orang mengundi untuk kekal dan seorang lagi mahukan kenaikan.
Pada masa yang sama, bank pusat juga memutuskan untuk mengurangkan beberapa program sokongan coronavirus tambahannya selepas Mac 2022.
Secara ringkasnya, sokongan untuk firma yang lebih besar akan dikurangkan secara beransur-ansur, sementara bantuan kepada frimas kecil bakal dilanjutkan dalam tempoh 6 bulan lagi sehingga September 2022.
Matawang yen didagangkan meningkat berbanding dolar greenback susulan keputusan ini, selain turut disokong hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih rendah di bawah tahap 1.5%.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan keputusan tersebut, BOJ mengatakan ekonomi Jepun telah meningkat walaupun masih perlahan disebabkan kesan Covid-19 dari dalam dan luar negara.
Eksport dan keluaran perindustrian terus berkembang di tengah isu-isu dari segi penawaran yang berterusan, manakala penggunaan swasta pulih secara beransur-ansur dengan tekanan ke bawah terhadap penggunaan perkhidmatan semakin berkurangan.
Tuntasnya, BOJ dilihat semakin optimis terhadap pemulihan semasa walaupun masih lagi diancam ketidaktentuan Covid-19. Sebagai reaksi, matawang yen didagangkan meningkat.