Harga minyak menuju penurunan pertama pada minggu ini selepas terkesan dengan peningkatan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat dan laporan mengenai Iran akan menyambung semula rundingan nuklear yang dapat menamatkan sekatan ke atasnya.
Minyak mentah Brent diniagakan sedikit meningkat pada $83.90 setong, selepas merosot ke paras terendah dua minggu pada hari Khamis.
Sementara niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula didagangkan pada $82.88 setong.
Kedua-dua penanda aras di landasan untuk mencatat penyusutan sekitar 1% pada minggu ini, menjadi penurunan mingguan pertama dalam tempoh 10 minggu buat dagangan WTI dan yang pertama untuk Brent dalam tempoh 8 minggu.
Dua data bekalan minyak mentah AS yang diterbitkan minggu ini menunjukkan peningkatan lebih tinggi daripada dijangkakan, menyebabkan harga minyak merosot dari paras tertinggi tahunan yang dicatatkan sebelumnya.
Sementara itu pada hari Rabu, Iran mengatakan rundingan dengan enam kuasa dunia akan disambung semula pada akhir November, yang bertujuan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015.
Pelabur kini menantikan mesyuarat OPEC pada minggu depan (4 November), di mana penganalisis menjangkakan mereka akan tetap dengan rancangan tambahan sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan sehingga April 2022.