Harga minyak kembali meningkat pada sesi Asia dengan memadamkan kerugian yang dicatatkan sebelumnya yang terkesan oleh peningkatan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.
Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat pada $83.70 setong ketika sesi dagangan Asia, sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula menokok di sekitar harga $80.90 setong.
Terdahulu, dagangan komoditi hitam itu jatuh selepas menyaksikan bekalan minyak mentah AS meningkat sebanyak 5.2 juta tong pada minggu lalu daripada kenaikan 951,000 yang dicatatkan sebelumnya.
Data daripada Institut Petroleum Amerika (API) juga menunjukkan inventori petrol turun sekitar 4.6 juta tong dan stok penyulingan pula turun 140,000 tong pada minggu lalu.
Harga turut terkesan dengan unjuran OPEC sebelum ini telah menurunkan ramalan pertumbuhan permintaan minyak dunia untuk tahun 2021 dalam laporan bulanan terbarunya pada hari Rabu.
Namun, mereka juga mengatakan kenaikan harga gas asli menjelang musim sejuk dapat meningkatkan permintaan produk minyak untuk memenuhi keperluan permintaan pemanasan.
Ini menyebabkan harga kembali pulih untuk menyambung pengukuhan di paras ketinggian tahunan yang dicapai pada awal minggu.