Harga emas terus mengekalkan momentum pengukuhannya di tengah pergerakan pasaran yang perlahan pada pembukaan dagangan awal minggu.
Pada sesi Asia, logam berharga itu menguat di sekitar harga $1,810 per auns walaupun pada awal dagangan ia sedikit menyusut. Sementara niaga hadapan emas pula didagangkan positif pada $1,812 per auns.
Pengukuhan ini disokong oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang merosot dari paras tertinggi satu minggu yang dicapai pada Jumaat, sekali gus mengurangkan kos peluang untuk mendapatkan emas.
Selain itu, dagangan dolar greenback yang suram di paras terendah hampir satu minggu berbanding mata wang utama lain juga memberi sinar buat dagangan emas.
Pergerakan emas dijangka terus stabil di atas paras harga $1,800 per auns memandangkan tidak banyak faktor, terutamanya data ekonomi akan mempengaruhi dagangan logam kuning itu.
Namun, berikutan faktor volatiliti harga yang tinggi dalam pasaran didorong oleh kecairan yang rendah bakal membuatkan pasaran berisiko. Ini membuatkan pelabur lebih berwaspada meletakkan posisi menjelang dagangan akhir tahun 2021.