Australia mencatatkan bacaan yang kuat dalam data pekerjaan pada bulan Mac, dengan kadar pengangguran terus menunjukkan penurunan, membuktikan bahawa langkah rangsangan daripada kerajaan dan bank pusat adalah berhasil.
Biro Statistik Australia (ABS) melaporkan kadar pengangguran turun kepada 5.6% daripada 5.8% pada bulan Februari, dan melebihi jangkaan pasaran untuk merosot pada 5.7%.
Selain itu, pertambahan pekerjaan dilaporkan meningkat 70,700 pada bulan lalu, dua kali ganda lebih baik daripada dijangkakan sebanyak 35,000. Kadar penyertaan pula turut meningkat kepada 66.3%, juga melebihi jangkaan sebanyak 66.1%.
ABS turut melaporkan pekerjaan sambilan menokok sebanyak 91,100, sementara pekerjaan sepenuh masa menurun sebanyak 20,800.
Penurunan pekerjaan sepenuh masa yang ketara akan menjadi perhatian Reserve Bank of Australia (RBA), yang telah memantau perubahan pekerjaan secara dekat. Malah, ia turut menyebut mengenai data pekerjaan sepenuh masa dalam pernyataan dasar monetari pada Februari.
Susulan penerbitan data tersebut, dolar Australia kekal didagangkan di sekitar paras tertinggi 3 minggu berbanding US dolar yang lemah.
Dolar Aussie telah meraih pengukuhan setelah mengalami pemulihan yang lebih kuat daripada dijangkakan dari kemelesetan yang disebabkan oleh pandemik coronavirus.