Lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Australia meletakkan dagangan dolar Aussie di bawah tekanan pada awal minggu.
Jawatankuasa tindak balas COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Scott Morrison akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini untuk membincangkan mengenai langkah yang perlu diambil bagi mengekang penularan ini.
Lonjakan kes di Sydney yang dikaitkan dengan varian Delta dari India yang sangat cepat merebak, telah meningkat menjadi 130 kes setakat ini. Kes juga telah direkodkan di Wilayah Utara, Queensland dan Australia Barat.
Hal ini menyebabkan kerajaan negeri New South Wales (NSW) memperluaskan penutupan ke seluruh bandar Greater Sydney, Blue Mountains, Central Coast dan Wollongong yang melibatkan kira-kira 5 juta penduduk.
18 kes tempatan baru dilaporkan di NSW pada hari Isnin, berbanding 30 hari sebelumnya, menjadikan jumlah jangkitan dalam wabak terbaru menjadi 130 sejak kes pertama dikesan hampir dua minggu yang lalu.
Sementara itu, Bendahari persekutuan Josh Fryndenberg memberitahu bahawa Australia kini memasuki fasa baru pandemik, dengan tekanan Delta yang lebih cepat menular. Beliau turut menambah Australia mengadapi masa kritikal dalam perjuangannya melawan Covid-19.
Dolar Aussie jatuh 0.15% pada pembukaan sesi Asia hari ini di sekitar harga 0.7572, sebelum kembali mendaki pada 0.7600 ketika awal sesi Eropah berikutan penyusutan US dolar.
Pelabur kini menantikan pengumuman terbaru daripada kerajaan Australia hasil daripada pertemuan jawatankuasa tindak balas Covid-19 dan para pemimpin pada hari ini.