Dolar greenback meneruskan pergerakan tidak bermaya pada sesi Eropah, memberi peluang buat beberapa matawang utama untuk mencatat peningkatan.
Memasuki sesi Eropah, indeks dolar dilihat terus bergerak di sekitar harga 95.75 berbanding enam matawang utama lain.
Antara faktor yang dilihat membantutkan kenaikan US dolar adalah, penanda aras hasil bon AS 10 tahun yang kekal di bawah tahap 1.60% selepas susut hampir 3% pada sesi sebelum ini.
Kemerosotan ini memberi peluang matawang yen untuk menghapuskan kerugian mingguannya, tetapi kekal didagangkan di paras terendah 4 setengah bulan berbanding USD.
Data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat menjadi satu-satunya faktor yang dijadikan tumpuan pelabur pada sesi New York nanti.
Pada sesi dagangan hari ini, dolar kiwi dilihat lebih menyinar selepas tinjauan Bank Pusat New Zealand (RBNZ) menunjukkan inflasi jangka pendek dijangka meningkat pada suku keempat.
Ini secara tidak langsung menyokong pandangan untuk melihat RBNZ melaksanakan lebih banyak pengetatan pada masa akan datang.
Sementara matawang pound pula terus mendapat sokongan daripada bacaan kuat dalam data inflasi UK yang meningkat ke paras tertinggi 10 tahun pada bulan Oktober, sekali gus menambah tekanan buat Bank Pusat England (BOE) untuk menaikkan kadar faedahnya.