Greenback terus mengekalkan momentum pengukuhan dengan meningkat lebih tinggi berbanding pesaing utamanya pada sesi Eropah.
Kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Delta yang cepat merebak di negara-negara Asia dan Eropah, telah memberi sokongan buat safe-haven greenback dan yen untuk meningkat.
Pada awal dagangan sesi Eropah, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan meningkat pada 92.00.
Matawang euro diperdagangkan lebih rendah di sekitar 1.1900 menjelang ucapan Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde pada malam ini. Bagaimanapun, pasaran menjangkakan bahawa Lagarde akan terus memberi kenyataan dovish mengenai dasar monetari semasa.
Lonjakan kes yang semakin membimbangkan telah mendorong beberapa negara Eropah, termasuk Jerman, Portugal dan Sepanyol untuk mengenakan sekatan perjalanan terhadap warga Britain yang belum divaksinasi.
Sementara itu, matawang pound terus didagangkan lemah, ditekan oleh kekhuatiran terhadap peningkatan kes Covid-19 akan menghalang UK untuk keluar daripada sekatan coronavirus meskipun Menteri Kesihatan Sajid Javid yakin bahawa England akan menghapuskan sekatan pada 19 Julai seperti yang dirancang.
Dalam pada itu, dolar Kanada didagangkan 0.2% lebih rendah berbanding USD, di tengah penyusutan harga minyak mentah yang ditekan oleh kebimbangan terhadap kes Covid-19 yang meningkat, menjelang mesyuarat OPEC+ pada hari Khamis.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand juga menjunam rendah berikutan pengukuhan US dolar dan kebimbangan terhadap kebangkitan semula Covid-19 di Australia sehingga memaksa Perth mengenakan langkah sekatan untuk mengekang penularan.