China dalam pernyataan tegas terbaru, memberi amaran bahawa cubaan Taiwan untuk menuntut kemerdekaan dari Beijing ‘bermaksud perang’.
Amaran itu muncul beberapa hari selepas Beijing meningkatkan aktiviti ketenteraan dan menghantar pesawat perang ke pulau itu.
Ini juga berlaku ketika hubungan antara Taiwan dan Amerika Syarikat semakin erat. Malah, dalam satu kenyataan pada hari Khamis, AS telah menegaskan semula komitmen Washington untuk menyokong kemampuan pertahanan Taiwan.
Pentadbiran AS yang baru dijangka akan terus memberi tekanan kepada China atas berbagai isu termasuk hak asasi manusia, perselisihan perdagangan, Hong Kong dan Taiwan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian memberitahu bahawa Taiwan yang sedang bermain dengan api akan membakar diri mereka dan kemerdekaan Taiwan juga bermaksud perang.
Beliau juga mempertahankan kegiatan ketenteraan China baru-baru ini dengan mengatakan bahawa ia adalah tindakan yang diperlukan sebagai keselamatan di Selat Taiwan dan menjaga kedaulatan dan keamanan negara.
China melihat Taiwan yang demokratik sebagai wilayah yang terpisah, tetapi Taiwan melihat dirinya sebagai sebuah negara yang berdaulat.