Dolar Amerika terus mempertahankan momentum pengukuhan pada permulaan dagangan awal minggu yang menyaksikan raja matawang itu didagangkan lebih tinggi berbanding pesaing utamanya.
Menjadi tumpuan pasaran pada minggu ini adalah mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed), yang diharapkan akan mendapat isyarat mengenai pengurangan pembelian aset akan dimulakan.
Pada sesi Asia, indeks dolar mengukuh di paras ketinggian tiga minggu berbanding kebanyakan matawang utama dengan didagangkan pada sekitar harga 93.28.
Terdahulu, pasaran telah diperlihatkan dengan bacaan jualan runcit AS yang sangat kuat sekali gus mengatasi kekecewaan disebabkan angka inflasi yang lemah dan mengembalikan semula harapan untuk langkah pengetatan polisi akan dilakukan pada tahun ini.
Menjelang penutupan dagangan hujung minggu pula, data keyakinan pengguna AS menunjukkan peningkatan pada bulan Ogos walaupun sedikit kurang dari jangkaan pasaran.
Dalam pada itu, dolar Aussie meneruskan junaman lebih rendah di tengah sentimen yang suram menjelang penerbitan laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) pada sesi Asia esok.
Mengikuti perkembangan matawang Eropah, pound susut ke paras terendah tiga minggu dengan perhatian pelabur juga terarah kepada mesyuarat dasar Bank of England (BOE) pada hari Khamis.
Kekuatan dolar greenback juga mengheret dagangan euro lebih rendah ketika penerbitan data pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah pada minggu ini turut dijadikan tumpuan utama pasaran bagi menilai kesihatan ekonomi di blok itu.