US dolar kelihatan didagangkan berhati-hati menjelang beberapa acara penting yang menjadi tumpuan pasaran pada malam ini, dengan mencatatkan sedikit penyusutan ketika pembukaan sesi Eropah.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama diniagakan sedikit berubah pada 92.05.
Hasil perbendaharaan 10 tahun AS masih menjadi faktor kritikal yang memacu pergerakan dalam pasaran walaupun susut sedikit dari tahap tertinggi satu tahun dengan berlegar di sekitar 1.53%.
Penerbitan data inflasi yang akan diterbitkan malam ini dijangka akan mempengaruhi hasil bon AS. Kadar inflasi AS dijangka meningkat pada bulan Februari dengan bacaan 0.4% berbanding 0.3% yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Tumpuan pasaran turut disasarkan kepada lelongan bon kerajaan 10 tahun yang akan berlangsung pada sesi New York. Pada minggu lalu, lelongan bon kerajaan 7 tahun telah mendorong lonjakan hasil bon AS ke tahap ketinggian terbaru satu tahun pada 1.62%.
Sementara itu, Dewan Perwakilan pula akan mengadakan undian terhadap rang undang-undang pakej rangsangan AS yang telah diubah Senat, dan membuka laluan untuk ditandatangani oleh Presiden Joe Biden.
Dolar Kanada diperdagangkan susut menjelang mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) malam ini, yang dijangka akan kekalkan kadar faedah tidak berubah dan meningkatkan unjuran pertumbuhan susulan prospek ekonomi yang bertambah baik.