Nigeria akan melancarkan matawang digital bank pusat (CBDC), eNaira di kediaman rasmi presiden Muhammadu Buhari pada hari ini:
“Matawang digital yang dihasilkan oleh Central Bank of Nigeria (CBN) akan diaktifkan pada Isnin, 25 Oktober 2021.”
Berdasarkan ketetapan sebelum ini, pelancaran eNaira sepatutnya berlangsung pada 1 Oktober. Bagaimanapun susulan daripada persiapan Hari Kemerdekaan Nigeria ke-61 yang padat, pelancaran eNaira terpaksa ditangguhkan.
Penubuhan eNaira bertujuan untuk melengkapkan kehadiran Naira, bukan untuk menggantikan wang fizikal tersebut.
Nigeria juga yakin kehadiran eNaira juga akan mewujudkan transaksi yang jauh lebih mudah dan lancar bagi setiap strata komuniti di negara itu.
Sebuah wallet turut akan dilancarkan bersama eNaira. Pengguna boleh menghubungkan wallet tersebut dengan akaun bank atau menggunakannya untuk membuat pembayaran melalui pilihan ‘prabayar’.
Sebelum ini ada dilaporkan bahawa kementerian kewangan Nigeria berhadapan dengan peningkatan kadar penggunaan matawang kripto.
Susulan daripada itu, pada Februari mereka memutuskan untuk menyekat transaksi kripto dalam sektor perbankan sebelum mengumumkan rancangan penubuhan eNaira empat bulan kemudian.