Harga emas sedikit meningkat pada sesi Asia, namun kenaikan yang dipaparkan tidak mampu menutup kerugian harian terbesar dari sesi dagangan sebelum ini.
Hasil mesyuarat FOMC yang sangat mengejutkan dari Federal Reserve (Fed) pada Rabu telah menggegarkan banyak pasaran, termasuk ekuiti, matawang dan bon.
Fed telah mengekalkan kadar faedah dan program pembelian bonnya tidak berubah, seperti yang dijangkakan secara meluas.
Namun, disebabkan jangkaan hawkish dari Fed mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah yang lebih cepat dari dijangkakan dan unjuran optimis terhadap pertumbuhan ekonomi, menyebabkan harga emas terus tenggelam ke bawah paras $1,800 per auns.
Pada sesi Asia, spot emas diniagakan meningkat pada $1,785 per auns, setelah menyentuh paras terendah lima minggu pada $1,767 per auns pada sesi sebelum ini. Sementara niaga hadapan emas pula didagangkan positif pada $1,786 per auns.
Walaupun hasil bon AS 10 tahun memaparkan penurunan, namun logam kuning itu gagal untuk meningkat lebih tinggi disebabkan matawang US dolar yang kukuh.