Pasaran pekerjaan UK melangkaui jangkaan pasaran dengan mencatatkan pertumbuhan lebih kuat pada bulan April ketika lebih banyak langkah sekatan dilonggarkan.
Menurut laporan Pejabat Statistik Negara (ONS) UK, kadar pengangguran tanpa dijangka menurun kepada 4.8% pada suku pertama, lebih baik daripada jangkaan pasaran untuk kekal pada 4.9% seperti yang dicatatkan sebelumnya.
Selain itu, jumlah tuntutan faedah pengangguran juga menunjukkan penurunan sebanyak 15,100 berbanding jangkaan untuk meningkat 25,600 pada bulan lalu.
Sementara jumlah kadar pekerjaan pula dicatatkan pada 75.2% dalam laporan terbaru, tetapi masih sekitar 1.4% lebih rendah daripada tahap yang dilihat pada bulan Disember hingga Februari 2020.
Prospek pekerjaan telah meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ketika kerajaan mengumumkan rancangan untuk membuka semula ekonomi sepenuhnya pada 21 Jun dan memberi sokongan upah kepada pekerja yang masih belum bekerja sehingga akhir September.
Susulan daripada bacaan data yang memberangsangkan ini, matawang pound melonjak lebih tinggi sehingga menyentuh paras harga 1.42000 berbanding US dolar yang lemah, menghampiri tahap tertinggi 3 bulan yang pernah direkodkan pada Februari.
Lonjakan ini turut didorong oleh kemerosotan US dolar yang jatuh lebih rendah pada pembukaan sesi Eropah.