Pasaran matawang tidak mempunyai arah tuju yang jelas pada pembukaan sesi Eropah, menyaksikan dagangan dolar greenback yang sedikit lebih tinggi dan matawang utama pula sedikit berubah.
Indeks dolar didagangkan stabil pada 93.85 berbanding kebanyakan matawang utama, mempertahankan kenaikan yang dicatatkan pada sesi sebelumnya.
Kekurangan pemangkin yang jelas pada sesi dagangan hari ini, menyebabkan matawang bergerak di sekitar harga yang sama.
Kebangkitan kes baru Covid-19 di China sehingga memaksa pelaksanaan sekatan di Lanzhou dilihat kurang memberi impak pada pasaran matawang, terutamanya matawang sensitif risiko seperti dolar Aussie dan kiwi.
Dolar Aussie didagangkan sedikit meningkat pada 0.75000 berbanding USD, menjadi tumpuan pelabur menjelang penerbitan data inflasi Australia pada sesi Asia esok, yang dijangka tidak berubah daripada pembacaan sebelum ini pada suku ketiga.
Sementara itu, panggilan telefon antara Naib Perdana Menteri China Liu He dan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen pula dilihat positif untuk hubungan perdagangan Amerika Syarikat dan China.
Selain itu, dagangan dolar Kanada pula stabil walaupun harga minyak mentah sedikit susut, dengan tumpuan pelabur kini terarah kepada mesyuarat polisi Bank Pusat Kanada (BOC) pada hari Rabu.
Matawang pound kembali meningkat, menghampiri paras harga 1.38000 selepas tergelincir pada dagangan awal minggu. Euro pula sedikit berubah dengan terus didagangkan rendah susulan penyusutan yang dicatatkan pada sesi sebelum ini.