US dolar sedikit meningkat pada sesi Asia selepas menjunam rendah susulan ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang membuat kenyataan dovish dalam keterangan separuh tahunannya pada sesi sebelum ini.
Pada hari pertama kesaksian di hadapan Kongres, Powell mengatakan bahawa bank pusat akan terus memberikan sokongan yang kuat sehingga pemulihan ekonomi selesai.
Selain itu, beliau juga mengatakan Fed percaya bahawa kenaikan inflasi semasa berkaitan dengan pembukaan semula ekonomi dan bersifat sementara. Oleh itu, Fed akan terus memberi perhatian untuk meningkatkan pekerjaan.
Bank pusat AS pada masa ini dijangkakan akan terus membeli bon sehingga ada kemajuan lebih lanjut dalam pekerjaan.
Hal ini telah mendorong indeks dolar menyusut rendah ke sekitar harga 92.40, setelah naik setinggi 92.83 berbanding sekumpulan matawang utama.
Kejatuhan ini turut menyusuli penurunan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang jatuh ke tahap 1.33% selepas menyentuh paras 1.42% pada sesi sebelumnya.
Sementara itu, matawang pound kurang memberi reaksi terhadap bacaan data inflasi yang lebih kuat daripada dijangkakan, dengan terus didagangkan di sekitar harga 1.3840 berbanding US dolar.
Kadar inflasi UK melonjak lebih tinggi di atas sasaran bank pusat pada 2.5% pada bulan Jun. Namun, disebabkan risiko pembukaan semula ekonomi di tengah penularan varian Delta menimbulkan kegelisahan pasaran terhadap pemulihan UK, menyebabkan pound gagal meraih pengukuhan.