Pergerakan matawang berhati-hati menjelang penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada malam ini, dengan dolar greenback diperdagangkan lebih tinggi berbanding pesaing utamanya.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan greenback berbanding sekumpulan matawang utama, naik ke tahap tertinggi tiga minggu pada 93.10.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun meningkat ke paras tetinggi sejak pertengahan Julai setelah Senat AS meluluskan rang undang-undang infrastruktur yang besar, membantu pengukuhan US dolar.
Senat AS yang dikendalikan oleh Demokrat telah meluluskan rang undang-undang infrastruktur bipartisan yang bernilai $1 trilion pada Selasa, dan segera memulakan perdebatan ke atas pelan perbelanjaan $3.5 trilion yang dicadangkan Presiden AS Joe Biden.
Pengeluaran data inflasi AS pada malam ini akan menjadi fokus utama pasaran, yang mana ia dijangka akan menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan pada bulan Julai berbanding bacaan terdahulu.
Pembuat dasar Federal Reserve (Fed), Charles Evans mengatakan lonjakan inflasi semasa tidak seharusnya mendorong bank pusat untuk mengetatkan dasar monetari sebelum waktunya, dan lebih banyak data pekerjaan perlu dilihat sebelum ada perubahan.
Kenyataan ini bagaimanapun gagal membantutkan permintaan terhadap matawang US dolar yang semakin meningkat selepas menyaksikan bacaan data pekerjaan NFP yang sangat memberangsangkan pada bulan Julai.
Pada masa yang sama, sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang semakin meluas, menyaksikan peningkatan kes di negara-negara Asia dan juga AS.
Ini menyebabkan pergerakan matawang utama terbatas dan bergerak di sekitar harga yang sama setelah ditolak jatuh oleh US dolar yang kuat.