Logam kuning emas bergelut untuk mencatatkan peningkatan pada hari Selasa, di mana pergerakan harga dilihat terbatas di bawah $1,740 per auns setelah penyusutan pada awal sesi Asia.
Spot emas berlegar di sekitar harga $1,739 per auns ketika sesi dagangan Eropah bermula, sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,738 per auns (3.15 petang waktu Malaysia).
Kebimbangan terbaru terhadap perlambatan program vaksinasi dan sekatan baru yang dikenakan di Eropah, sedikit menyokong pergerakan harga. Namun, keyakinan pasaran terhadap pemulihan ekonomi yang lebih kuat, telah membataskan kenaikan harga emas
Malah kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang menahan diri dari menyatakan kebimbangan mengenai hasil bon kerajaan AS baru-baru ini, membuatkan pelabur berhati-hati meletakkan posisi pada emas.
Penanda aras hasil perbendaharan AS 10 tahun susut sedikit dari paras ketinggian lebih satu tahun yang dicapainya pada akhir minggu lalu, ke sekitar 1.66%.
Powell dijadualkan untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perkhidmatan Dewan pada hari Selasa dan Jawatankuasa Perbankan Senat pada hari Rabu, yang juga bakal disertai oleh Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen.
Melalui draf nota ucapan yang dilihat sebelum keterangan Powell malam ini, beliau akan memberi petunjuk mengenai ekonomi Amerika Syarikat yang dilihat bertambah baik. Bagaimanapun, pemulihan yang dipamerkan masih jauh lagi untuk lengkap sepenuhnya.