Peningkatan tidak dijangka dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat menjadi penghalang buat dagangan komoditi hitam untuk meningkat lebih tinggi.
Terbaru, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan peningkatan dalam inventori minyak mentah sebanyak 2.3 juta tong pada minggu lepas, lebih banyak daripada jangkaan untuk kenaikan 1.9 juta tong.
Sementara stok petrol pula meningkat sebanyak 500,000 tong dan penyulingan pula menokok sebanyak 1 juta tong, berbanding jangkaan menurun untuk kedua-duanya.
Pada sesi Asia, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent susut 0.5% pada $85.22 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula merosot sekitar 0.6% pada $84.10 setong.
Dengan minyak mentah Brent telah meningkat lapan minggu berturut-turut, dan dagangan WTI pula menokok 10 minggu berturut-turut, penganalisis merasakan harga mula kelihatan sebagai ‘overbought’.
Secara keseluruhan, harga minyak mentah masih lagi bertahan di sekitar paras tertinggi tahunan yang disokong oleh pemulihan permintaan susulan pembukaan semula ekonomi utama, selain turut ditekan oleh kekurangan dalam bekalan global yang menyebabkan lonjakan harga tenaga.