Kalau sebelum ini kita menyaksikan kehadiran permainan maya menangkap raksasa peliharaan melalui Pokémon GO, kali ini Niantic Labs memperkenalkan permainan mengumpul Bitcoin (BTC).
Biar betul?
Pengalaman permainan Fold AR ditawarkan kepada semua pengguna aplikasi Fold melalui hiburan pengumpulan ganjaran dalam Bitcoin.
Ia dibangunkan melalui kerjasama antara Niantic Labs dengan syarikat aplikasi ganjaran Bitcoin, Fold.
Pemain berpeluang untuk mengumpul Bitcoin dalam kuantiti mikrosen (kuantiti terkecil daripada seunit BTC), juga akan menerima peluang untuk membuat spins yang mana akan menawarkan lebih banyak Bitcoin.
Lebih kurang seperti Pokémon GO tapi kali ini versi Bitcoin GO.
Menariknya, pemain akan terlibat secara langsung dalam pengembaraan pencarian Bitcoin melalui pengalaman teknologi realiti berperantara atau dikenali sebagai augmented reality (AR).
Pemain juga mungkin akan berhadapan dengan koleksi sebenar di dalam Fold AR, sekaligus memberi mereka keistimewaan berbanding pemain lain.
Tidak cukup dengan itu, mereka berpeluang untuk meningkatkan keuntungan, termasuk faedah seperti peningkatan ganjaran yang kekal.
Pelancaran awal Fold AR berlangsung pada 23 November dengan pengaksesan kepada sejumlah kecil pengguna untuk pengalaman beta. Pengaksesan untuk sejumlah besar pengguna akan berlaku selepas daripada tarikh tersebut.