Dagangan emas sedikit berubah pada sesi Asia, ketika dagangan dolar greenback terus mengekalkan momentum pengukuhannya berhampiran paras tertinggi satu tahun berbanding pesaing utamanya.
Pelabur terus berpegang teguh pada keyakinan bahawa Federal Reserve (Fed) akan tetap mengumumkan permulaan pengurangan pembelian bon pada bulan depan walaupun telah diperlihatkan dengan data pekerjaan yang mengecewakan.
Sebagai petunjuk lebih lanjut untuk garis masa pengurangan Fed, pelabur kini menantikan penerbitan data inflasi AS pada hari Rabu dan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis.
Emas biasanya dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan penurunan nilai matawang yang disebabkan oleh rangsangan yang meluas. Pengurangan oleh Fed dapat mengatasi kedua-dua situasi tersebut, sekali gus mengurangkan daya tarikan terhadap logam berharga itu.
Sementara itu, pengukuhan hasil bon AS di paras ketinggian 4 bulan pada 1.61%, turut membantutkan pergerakan emas menyebabkannya terus bergerak di sekitar harga yang sama.
Ketika penulisan, spot emas didagangkan berlegar sekitar harga $1,757 per auns, sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,758 per auns.