Pergerakan pasaran dijangka akan mula perlahan pada hari ini (Jumaat) bersambung sehingga dagangan minggu hadapan berikutan pasaran dan bank-bank akan bercuti sementara sempena sambutan Krismas.
Namun mengakhiri dagangan Khamis semalam, US dolar dilihat terus mengalami penyusutan dan bergerak lemah berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain dalam pasaran.
Mata wang komoditi seperti dolar Australia, dolar New Zealand dan dolar Kanada terus paparkan pengukuhan menuju ke penghujung minggu.
Sementara mata wang safe-haven seperti US dolar, Yen Jepun dan Swiss franc mengalami susut nilai ekoran sentimen risk-on pasaran telah mendorong pelabur beralih ke arah pelaburan yang lebih berisiko dan berpulangan tinggi.
Dolar Kanada menerima sokongan oleh terbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada untuk bulan Oktober pada sesi New York malam tadi yang menepati ramalan untuk meningkat kepada 0.8% daripada 0.2% sebelum ini.
Turut diterbitkan bersama data tersebut adalah indeks harga serta perbelanjaan peribadi pengguna di Amerika Syarikat (AS) serta beberapa bacaan data yang lain.
Secara keseluruhannya, walaupun bacaan data diterbitkan dengan angka yang positif, namun tetap gagal untuk memberi sokongan terhadap pengukuhan US dolar.
Pelabur kekal memberi tumpuan terhadap sentimen pasaran yang kembali pulih daripada risiko kebimbangan penularan Omicron sebelum ini jangkaan pemulihan terhadap pertumbuhan ekonomi global.
Walaupun US dolar diramalkan untuk masih bergerak lemah untuk tempoh terdekat, namun pergerakan harga berkemungkinan lebih berisiko dan tidak menentu dengan kebanyakan bank-bank utama masih lagi ditutup pada minggu hadapan.