Harga emas kekal diperdagangkan di sekitar tahap yang sama ketika US dolar mencatatkan penyusutan lebih rendah disebabkan penurunan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun.
Pada sesi Asia, logam berharga itu sedikit meningkat dengan diniagakan berlegar di sekitar paras harga 1,859 per auns, manakala niaga hadapan emas pula positif pada $1,860 per auns (12.20 pm waktu Malaysia).
Penanda aras hasil perbendaharaan 10 tahun turun dari paras tertinggi 10 bulan, menyeret US dolar lebih rendah ketika sesi dagangan hari ini.
Ini sedikit sebanyak menyokong dagangan emas untuk diniagakan positif selain turut disokong oleh kekhuatiran pasaran terhadap peningkatan berterusan kes Covid-19 di seluruh dunia sehingga mendorong sekatan lebih ketat dilaksanakan di beberapa negara.
Para pelabur perlu diingatkan bahawa Presiden Joe Biden akan melancarkan pelan rangsangan ekonomi tambahan coronavirusnya pada hari esok, di mana beliau telah berjanji untuk melancarkan bantuan bertrilion dolar.
Hal ini mungkin akan mempengaruhi pergerakan logam kuning emas yang dilihat sebagai lindung nilai kepada inflasi.