Harga emas kembali bergerak lebih tinggi pada sesi Eropah, mengikuti pergerakan lemah yang dipamerkan oleh hasil perbendaharaan AS.
Ketika penulisan, spot emas diniagakan meningkat 0.3% di sekitar harga $1,792 per auns, dengan pergerakan kini menuju ke paras sasaran $1,800.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun terus bergerak lemah dengan berlegar di sekitar tahap yang sama pada 1.57, sekali gus membataskan pergerakan US dolar daripada meningkat lebih tinggi.
Terdahulu, logam kuning itu susut ketara ekoran kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen yang mencetuskan jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah lebih cepat dari dijangkakan.
Pada Selasa, Yellen telah memberi amaran bahawa kadar faedah perlu dinaikkan untuk memerangi inflasi di tengah pemulihan ekonomi global yang semakin cepat.
Namun, pasaran kembali reda selepas para pegawai Federal Reserve (Fed), menolak kenyataan Yellen dengan mengatakan masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai pengurangan (tapering) dalam dasar semasa.
Malah, mereka juga tidak melihat kenaikan inflasi semasa sebagai bermasalah, tetapi ia dilihat stabil. Ini menandakan Fed akan terus kekal dengan dasar semasa untuk menyokong pemulihan.