Menjadi tumpuan sesi Asia, adalah lonjakan yang dipamerkan dolar kiwi selepas menyaksikan bacaan data ekonomi yang memberangsangkan, sekali gus menguatkan lagi prospek bahawa bank pusat New Zealand (RBNZ) akan meningkatkan kadar faedah lebih cepat dari dijangkakan.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Statistik New Zealand pada awal pagi ini, kadar pengangguran jatuh mendadak kepada 4% pada suku kedua, daripada 4.6% yang dicatatkan pada suku pertama.
Bacaan yang dicatatkan ini adalah yang terendah sejak Disember 2019 dan berada di bawah tahap pra-COVID setelah pelaksanaan penutupan coronavirus melihat kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% tahun lalu.
Dolar kiwi melonjak tinggi susulan laporan ini, dengan didagangkan di sekitar tahap tertinggi hampir satu bulan ketika pelabur mula meramalkan bahawa angka ini akan meningkatkan kemungkinan untuk kenaikan kadar faedah.
Matawang itu telah meraih sokongan untuk meningkat pada sesi sebelumnya, yang mana RBNZ dilaporkan akan segera memulakan perbincangan mengenai pengetatan dalam standard pinjaman gadai janji dalam usaha untuk mengawal pasaran perumahan yang meningkat dan melindungi pembeli rumah.
Data menunjukkan New Zealand telah melepasi pekerjaan penuh, dan ekonomi menjadi terlalu panas, kata ANZ Bank.
ANZ Bank menjangkakan bahawa kadar faedah akan dinaikkan pada mesyuarat bulan Ogos, Oktober dan November, dengan dua kenaikan lagi pada Februari dan Mei, menjadikan kadar faedah pada kadar terminal 1.5% pada pertengahan 2022.