Dagangan minyak mentah bersedia untuk kenaikan mingguan kedua di tengah keyakinan pelabur bahawa permintaan akan tetap kukuh walaupun dunia berdepan dengan kebangkitan semula wabak coronavirus.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan mengukuh di sekitar harga $75.60 setong, sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula menguat pada $73.15 setong.
Kedua-dua penanda aras menuju kenaikan sekitar 2% untuk minggu ini, didorong oleh petunjuk bekalan minyak mentah yang ketat dan permintaan yang kuat di Amerika Syarikat, pengguna minyak terbesar di dunia.
Terdahulu, data rasmi dari Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan kejatuhan ketara dalam inventori minyak mentah AS pada minggu lepas, dengan stok minyak mentah di Cushing mencecah tahap terendah sejak Januari 2020 sekali gus mencerminkan pertumbuhan permintaan yang kuat.
Walaupun dengan kes-kes coronavirus yang meningkat di AS, Asia dan beberapa negara di Eropah, para penganalisis berpendapat bahawa kenaikan kadar vaksinasi akan membataskan keperluan untuk penutupan bagi mengekang penularan tersebut.
Selain itu, pengukuhan harga minyak mentah turut disokong oleh kelemahan US dolar yang menjadikan komoditi hitam itu lebih murah bagi pemegang matawang lain.