Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerima kontrak bernilai anggaran RM80 juta bagi melaksanakan pembangunan projek di Johor Bahru.
Dalam pada itu, SCIB berkata kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pentauliahan (EPCC) daripada Kencana Healthcare Sdn Bhd (KHSB) bertempoh 10 tahun.
Ia berkemungkinan akan dilanjutkan secara bersama bagi tempoh lima tahun akan mendatang.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, nilai RM80 juta itu merupakan peruntukan pembelian maksimum untuk semua peralatan yang bakal dibekalkan dan berasaskan kepada konsesi pajakan peralatan modal.
Skop kerja berkenaan dijangka meliputi penyumberan serta rundingan bagi semua peralatan perubatan berlandaskan kepada senarai bekalan yang akan disediakan oleh KHSB.
Tambahnya, SCIB diminta menyediakan penyelenggaraan yang komprehensif selama 10 tahun setelah pelaksanaan dan segala hal itu bakal disahkan oleh pengendali, Institut Jantung Negara (IJN).
Kontrak yang diperoleh juga dijangka dapat menyumbang impak positif kepada pendapatan SCIB Group pada masa akan datang sepanjang tempoh kontrak.
Setakat 11.44 pagi, harga saham SCIB telah menokok 2.44% kepada 0.63 sen dengan memiliki nilai permodalan pasaran sebanyak RM313.37 juta.