Perdana Menteri UK, Boris Johnson tetap akan mengumumkan pelonggaran sekatan sepenuhnya pada 19 Julai meskipun berdepan amaran daripada para saintis negara bahawa ia akan menyebabkan kes jangkitan meningkat lebih cepat.
PM Johnson dijangka akan mendedahkan rancangan beliau untuk mengembalikan kebebasan rakyat di England melalui satu sidang media Downing Street pada hari Isnin.
Perubahan yang akan diumumkan termasuk membenarkan orang dewasa yang telah menerima vaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan ke negara-negara yang dibenarkan oleh UK tanpa perlu menjalani kuarantin apabila mereka pulang.
Selain itu, kerajaan juga akan menetapkan pemakaian pelitup muka secara sukarela (selain di hospital dan tempat penjagaan kesihatan lain), dan tidak lagi memerlukan orang dewasa yang telah divaksinasi sepenuhnya untuk mengkuarantinkan diri jika mereka bersentuhan dengan orang yang dijangkiti.
Dalam kata lain, kerajaan UK akan memberi kebebasan kepada rakyat untuk membuat keputusan mereka sendiri dalam menjaga pergerakan sosial.
Terdahulu, para saintis UK memberi amaran bahawa pembukaan sepenuhnya sekatan di England adalah seperti membina ‘kilang varian’ baru, di mana kes jangkitan akan meningkat dengan sangat cepat susulan penularan varian Delta.
Peningkatan mendadak kes di UK semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi selepas ia meningkat ke paras tertinggi sejak Januari pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, dengan jumlah kemasukan ke hospital dan kematian yang berkurang disebabkan ramai yang dijangkiti dilindungi oleh vaksin, menyebabkan kebimbanga sedikit mereda.