Raja matawang US dolar melonjak lebih tinggi ketika pasaran memasuki sesi Eropah, dengan para pelabur bersiap sedia menantikan penerbitan data PMI pembuatan AS tinjauan ISM pada malam ini.
Berbanding pesaing utama, indeks dolar didagangkan menguat di paras tertinggi tiga bulan pada 92.50.
Bacaan data pembuatan dijangka akan bertahan di atas tahap 60, menunjukkan pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian. Pelabur juga akan melihat komponen pekerjaan sebagai petunjuk kepada data NFP pada hari Jumaat.
Matawang euro bergerak lemah di tengah-tengah pengukuhan dolar greenback walaupun bacaan akhir data PMI pembuatan Zon Eropah dilaporkan lebih baik daripada bacaan awal yang dicatatkan sebelum ini pada bulan Jun.
Sementara itu, matawang pound tersungkur lebih rendah di bawah paras harga 1.38000 berbanding US dolar, selepas Gabenor Bank of England (BOE), Andrew Bailey memberi amaran mengenai reaksi berlebihan terhadap kenaikan inflasi di UK.
Dalam kenyataan terbaru pada Khamis, Bailey dengan tegas mengatakan bahawa kenaikan inflasi baru-baru ini adalah bersifat sementara, dan pengetatan dasar monetari lebih awal akan mengganggu pemulihan.
Selain itu, pound sterling turut dihimpit oleh tekanan daripada kebimbangan pasaran terhadap kes Covid-19 yang semakin meningkat di UK akan menggagalkan usaha pembukaan semula negara itu.