Pertumbuhan pekerjaan Amerika Syarikat dijangka akan kekal kukuh pada bulan Julai ketika pasaran buruh di negara itu beransur-ansur pulih dari pandemik yang menyebabkan kehilangan berjuta-juta pekerjaan.
Ekonomi AS diramalkan menambah sebanyak 870,000 pekerjaan, setelah mencatatkan kenaikan sebanyak 850,000 pada bulan sebelumnya. Sementara kadar pengangguran pula diunjurkan menurun kepada 5.7% selepas kenaikan tidak dijangka yang dicatatkan pada bulan lalu pada 5.9%.
Pada hari Rabu, pelabur telah dikejutkan dengan angka pekerjaan swasta ADP yang menunjukkan pertumbuhan yang lebih lemah daripada dijangkakan, tetapi kebimbangan mereka kembali mereda setelah diperlihatkan dengan bacaan data ekonomi lain.
Ini dapat dilihat daripada tinjauan Institute for Supply Management (ISM) yang menunjukkan peningkatan dalam komponen pekerjaan sektor pembuatan dan perkhidmatan di AS pada bulan lalu.
Selain itu, purata jumlah tuntutan pengangguran pada bulan Julai juga menurun kepada 394,000 daripada 397,000 sebelumnya. Ini susulan penurunan sebanyak 385,000 pada minggu lepas.
Walaupun AS kini diancam oleh gelombang baru Covid-19 yang disebabkan penularan varian Delta yang sangat cepat, tetapi ia mungkin tidak mempengaruhi laporan Julai. Walaupun begitu, penganalisis mengatakan ia dapat memperlambatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada pekerjaan.
Sekiranya bacaan data malam ini melebihi jangkaan pasaran dan kadar pengangguran juga turun dari 5.9%, matawang US dolar dijangka meningkat lebih tinggi. Jika perkara sebaliknya berlaku, USD mungkin kembali mengurangkan keuntungan yang diraihnya.