Dolar greenback mencatatkan penyusutan lebih rendah pada sesi perdagangan Asia hari ini, tetapi tetap bertahan di sekitar paras harga yang sama berbanding kebanyakan pesaing utamanya.
Penyusutan ini dipengaruhi oleh pasaran saham yang bergerak lebih tinggi menjelang laporan pendapatan utama dari syarikat-syarikat teknologi besar AS yang pastinya akan menggegarkan pasaran selain keputusan mesyuarat polisi FOMC.
Federal Reserve akan memulakan pertemuan dua hari pada hari Selasa, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Jerome Powell pada hari Rabu, di mana para pelabur akan mencari sebarang petunjuk mengenai bila pengurangan pembelian bon bakal dimulakan.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan sedikit susut di sekitar harga 92.58 berbanding kebanyakan matawang utama.
Matawang euro memanfaatkan penyusutan US dolar untuk kembali meningkat di atas paras harga 1.1800 walaupun tinjauan dari Institut Ifo menunjukkan keyakinan perniagaan Jerman tanpa dijangka menurun pada bulan Julai kerana kebimbangan rantaian bekalan yang berterusan dan peningkatan kes Covid-19.
Selain itu, matawang pound meningkat lebih tinggi di atas paras harga 1.3800 berbanding US dolar, disokong oleh perkembangan coronavirus yang bertambah baik di UK, di mana angka jangkitan telah mula menunjukkan penurunan sejak sekatan ditamatkan.
Keadaan ini berbeza pula di Australia yang terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan, terutamanya di negeri yang mempunyai populasi terbesar New South Wales (NSW). Sebanyak 172 kes telah dicatatkan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Pergerakan dolar Aussie sedikit terbatas susulan laporan ini, selepas ia mencatatkan peningkatan lebih tinggi berikutan kemerosotan dolar greenback pada sesi New York sebelum ini.