Ancaman coronavirus di Australia terus menekan dolar Aussie untuk jatuh ke paras terendah tahunan terbaru pada sesi Asia hari ini.
Dolar Aussie diperdagangkan 0.25% lebih rendah berbanding dolar greenback, ke paras harga 0.73750 iaitu tahap paling rendah pernah dilihat sejak awal Disember. Matawang antipodean itu juga susut ke paras terendah lima bulan berbanding safe-haven yen.
Sekatan di beberapa kawasan terjejas terus diperketatkan, di mana Sydney memerintahkan penutupan tapak bangunan, menutup perniagaan runcit yang tidak penting dan mengenakan denda kepada majikan yang memaksa pekerja masuk ke pejabat.
Sydney yang merupakan bandar terbesar di Australia dengan populasi 5 juta penduduk, telah dikurung sejak 26 Jun dan dijangka akan berakhir pada 30 Julai, setelah pemandu transit lapangan terbang membawa virus itu ke dalam komuniti dan mencetuskan penularan wabak yang sangat cepat.
Dalam pada itu, menurut tinjauan yang dikemukakan oleh Wall Street of Journal (WSJ), Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan menangguhkan rancangan pengurangan pembelian bonnya sekiranya Sydney terus di bawah sekatan sehingga pertengahan atau akhir Ogos.
Hal ini pastinya akan memberikan tekanan buat matawang dolar Aussie untuk terus didagangkan lemah.
Sementara itu, penganalisis dari Commonwealth Bank of Australia, mengatakan bahawa penutupan di Sydney dan Melbourne dijangka akan mempengaruhi ekonomi Australia dengan ketara.