Minyak mentah melanjutkan kenaikan lebih tinggi ketika kebimbangan terhadap varian coronavirus Omicron semakin mereda dan kebuntuan dalam rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah telah mencatat peningkatan hampir 5% pada hari Isnin selepas kejatuhan minggu lalu.
Pada sesi Asia, niaga hadapan Brent didagangkan meningkat di sekitar harga $73.45 setong setelah menokok 4.6% pada sesi sebelumnya, manakala WTI Amerika Syarikat pula kembali mendaki ke harga $70 setong selepas meraih keuntungan 4.9%.
Terdahulu, komoditi hitam itu telah mendapat sokongan daripada tindakan pengeksport utama dunia, Arab Saudi yang menaikkan harga jualan rasmi minyak mentahnya ke Asia dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, rundingan nuklear antara AS dan Iran tampaknya masih tidak mendapat penyelesaian, menyebabkan keinginan Tehran untuk mengembalikan minyaknya ke pasaran tertangguh lagi buat masa ini.
Ini secara tidak langsung memberi dorongan tambahan buat harga minyak yang baru sahaja ingin mendaki dari prestasi yang lemahnya pada minggu lalu ketika varian Omicron mula dikesan.