Harga minyak mentah kembali meningkat selepas beberapa pengeluar OPEC gagal memenuhi sasaran pengeluaran pada bulan Oktober di bawah perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.
Hal ini sekali gus mengangkat harga minyak untuk mencatat kenaikan semula, dengan memperlihatkan niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat pada $85 setong pada sesi Asia.
Sementara penanda aras minyak WTI Amerika Syarikat pula menokok pada sekitar harga $84 setong, tidak jauh dari paras ketinggian tujuh tahun yang dicapainya minggu lalu.
Terbaru, tinjauan Reuters melaporkan beberapa anggota OPEC mengeluarkan minyak mentah lebih kecil daripada sasaran yang ditetapkan, dan ini telah mengimbangi bekalan yang lebih tinggi dari Arab Saudi dan Iraq.
OPEC dilaporkan telah mengepam 27.50 juta tong sehari pada Oktober, yang menyaksikan peningkatan 190,000 tong daripada bulan sebelumnya tetapi di bawah kenaikan 254,000 tong yang disasarkan di bawah perjanjian pembekalan.
Selain itu, harga turut terkesan dengan laporan yang menyatakan firma minyak negara di China telah meningkatkan kadar operasi penapisan, bagi mengelakkan kekurangan diesel dalam pengguna minyak terbesar di dunia itu.
Sementara menantikan mesyuarat OPEC+ pada hari Khamis, pelabur turut menunggu penerbitan data bekalan minyak mentah AS dari Institut Petroleum Amerika (API) pada hari ini.