Harga saham IOI Corp Bhd melonjak sebanyak 11 sen atau 2.83% kepada RM4 di sesi dagangan Bursa Malaysia hari ini susulan syarikat itu melaporkan peningkatan keuntungan bersih pada suku kedua.
Keuntungan syarikat perladangan kelapa sawit itu meningkat kepada RM1.39 bilion pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 daripada RM600.9 juta yang dicapai pada tahun lalu.
Di samping itu, pendapatan syarikat dilihat melonjak kepada RM11.25 bilion berbanding RM7.8 bilion dan IOI Corp juga ada mengumumkan dividen interim sebanyak enam sen sesaham.
Setakat 12.29 tengah hari, harga saham IOI Corp telah menokok 2.06% atau 7 sen kepada RM3.97.
Meneliti kepada penilaian yang dilaporkan, prestasi kumpulan itu menjadi lebih baik adalah sumbangan daripada penghasilan yang lebih tinggi daripada semua segmen.
Antara yang cemerlang adalah segmen perladangan yang mencecah rekod keuntungan sebanyak RM1.21 bilion atau 72% lebih baik daripada RM701.5 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.
Keuntungan pada segmen pembuatan berasaskan sumber juga mencapai lonjakan yang lebih tinggi sebanya 73% kepada RM668.0 juta berbanding RM385.1 juta.
MIDF menyatakan bahawa segmen hulu kumpulan bakal terus bersinar dek kerana harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka akan kekal kukuh di atas paras RM3,000 per metrik tan.
Tambahnya, ia juga meramalkan prestasi syarikat sekutu Bunge Loders Croklaan Group BV meningkat pada suku yang akan datang memandangkan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta permintaan yang lebih tinggi di Amerika Utara dan Eropah.
Secara kesimpulannya, IOI Corp melihat prestasi kewangan keseluruhan pada tahun kewangan baharu ini adalah lebih positif yang disokong oleh prestasi yang mantap dari segmen perladangan.