Tampaknya harga saham Petronas Dagangan Bhd pamer pergerakan agresif dengan membuat kenaikan sebanyak 2.13% pada sesi dagangan di Bursa Malaysia hari ini.
Ini susulan syarikat itu mengumumkan dividen 10 sen sesaham pada semalam dan menyatakan bahawa keuntungan bersih pada suku kedua meningkat kepada RM82.14 juta daripada hanya RM3.51 juta pada tempoh masa yang sama tahun lalu.
Pada 10.27 pagi, harga saham Petronas Dagangan telah melonjak ke paras RM19.04 setelah menokok 40 sen atau 2.13% kepada RM19.20.
Menurut laporan kepada Bursa, Petronas Dagangan menyatakan bahawa pendapatannya catat kenaikan kepada RM5.14 bilion bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding RM2.93 bilion pada tahun lalu.
Penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Low Jin Wu mengatakan keuntungan teras Petronas Dagangan dan kepentingan minoriti atau keuntungan bersih teras pada RM266 juta berada di bawah jangkaan HLIB.
“Kami menjangkakan jumlah penjualannya akan mengalami penyusutan susulan masih berlaku lagi penguatkuasaan sekatan jalan raya bagi negeri yang masih berada di Fasa 1,” katanya.
Namun HLIB berkeyakinan tinggi bahawa peningkatan dalam kadar vaksinasi di seluruh negara bakal kembali memacu ke aras seperti sedia kala.
Manakala pasukan penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata pendapatan syarikat itu telah melonjak 23 kali ganda kepada RM82 juta dari tahun ke tahun namun susut 57% dari suku ke suku.