Dagangan emas terus berdepan tekanan menjelang permulaan sesi Eropah selepas menjunam lebih rendah ketika sesi dagangan Selasa disebabkan pengukuhan US dolar.
Spot emas diperdagangkan suram di sekitar paras harga $1,837 per auns ketika pasaran menuju sesi Eropah, sementara niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,839 per auns (2.25 petang waktu Malaysia).
Logam kuning itu telah mengalami kejatuhan ketara dari $1,860 kepada $1,830 per auns pada Selasa, ketika dagangan dolar greenback melonjak lebih tinggi ke paras tertinggi 2 bulan berbanding kebanyakan matawang utama.
Ini didorong oleh prospek pemulihan ekonomi AS yang semakin meningkat berikutan jangkaan rangsangan lebih besar dan pelancaran vaksin Covid-19 yang juga berjalan dengan lancar.
Penggubal undang-undang Demokrat di Senat AS telah memulakan perdebatan sebagai langkah pertama untuk meluluskan pakej rangsangan $ 1.9 trilion yang dicadangkan oleh Presiden Joe Biden, walaupun tanpa mendapat sokongan daripada Republikan.
Kebiasaannya, emas akan meraih manfaat daripada pelaksanaan langkah rangsangan fiskal yang lebih besar kerana ia dianggap sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Namun, buat masa ini sentimen pasaran lebih berpihak kepada matawang US dolar yang turut disokong oleh pengukuhan dalam hasil perbendaharaan AS yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pemulihan ekonomi.