Greenback mendapat sokongan untuk melonjak lebih tinggi selepas bacaan data jualan runcit Amerika Syarikat yang diterbitkan pada sesi sebelum ini menunjukkan bacaan yang memberangsangkan.
Penjualan runcit AS meningkat 1.7% pada bulan Oktober, melebihi jangkaan untuk kenaikan 1.4%. Ini merupakan peningkatan paling kuat pernah dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan yang juga menandakan rakyat Amerika mula berbelanja lebih awal sebelum cuti bermula.
Susulan itu, US dolar mencatat paras ketinggian terbaru sejak Julai 2020 dengan diniagakan pada sekitar harga 95.90 berbanding pesaing utamanya, ketika penulisan.
Raja matawang itu telah meningkat tinggi sejak data inflasi AS minggu lalu menunjukkan harga pengguna melonjak ke tahap tertinggi 30 tahun yang mencetuskan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar faedah lebih awal.
Sementara itu, euro melanjutkan kerugian berbanding US dolar ke tahap terlemah 16 bulan. Pendirian dasar Bank Pusat Eropah (ECB) yang dovish dan pengukuhan US dolar terus memberi tekanan buat matawang itu.
Kelemahan euro mencerminkan prestasi mengecewakan ekonomi Zon Eropah berbanding Amerika. Terbaru, Eropah telah menerbitkan anggaran kedua Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku ketiga di mana ia dicatatkan tetap pada 2.2% seperti unjuran awal sebelum ini.
Matawang pound diniagakan stabil diimbangi oleh data pekerjaan UK yang positif di tengah pengukuhan dolar greenback. Tumpuan pelabur kini beralih kepada data inflasi UK yang akan dikeluarkan pada sesi Eropah hari ini.