Susulan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan semalam, apa pula perkembangan berkenaan rancangan Federal Reserve (Fed) untuk laksanakan langkah pengurangan pembelian aset (tapering) yang menjadi bualan dalam pasaran sebelum ini?
Reuters tampil dengan tinjauan lebih 100 pakar ekonomi yang berpandangan bahawa Fed berkemungkinan bakal mengumumkan strategi pengurangan program pembelian bon mereka pada Ogos dan September ini, dan masih tidak akan mengurangkan pembelian bulanan sehingga awal tahun hadapan.
Susulan keputusan undian, mencuri perhatian adalah kenyataan oleh James Knightley, Ketua Ekonomi Antarabangsa di ING yang mahu melihat petunjuk yang lebih jelas oleh Fed pada acara persidangan Jackson Hole nanti.
Tinjauan itu juga mengemukakan anggaran nilai pengurangan pembelian bon bulanan dengan unjuran sekitar $20 bilion, terbahagi sama rata antara Treasuries dan mortgage-backed securities (MBS).
Namun buat waktu ini, langkah pengetatan polisi oleh Fed dengan langkah tapering tersebut masih lagi tidak menjadi pilihan selepas laporan pekerjaan NFP AS kurang memberangsangkan selain kadar inflasi juga susut.
Penganalisis pasaran juga masih melihat kadar inflasi AS masih belum cukup meyakinkan untuk bank pusat mengubah polisi semasa dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi.
Justeru, pelabur berkemungkinan akan terus melihat kesan pergerakan lemah US dolar dalam pasaran untuk beberapa minggu berikutnya.