US dolar mula mencipta rentak untuk bangkit pada perdagangan awal minggu, dengan didagangkan lebih tinggi berbanding matawang utama ketika hasil perbendaharaan AS kembali stabil.
Indeks dolar diniagakan meningkat 0.10% berbanding pesaing utamanya dalam pergerakan pasaran yang perlahan.
Kebimbangan terhadap varian coronavirus Delta masih lagi membelenggu pasaran, menyebabkan pelabur lebih berhati-hati dan mendorong permintaan terhadap safe-haven US dolar untuk meningkat.
Kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat kembali meningkat, dengan peningkatan sebanyak 60% telah direkodkan dalam tempoh dua minggu walaupun ia hanya dilaporkan di kawasan tertentu.
Matawang pound kembali susut di bawah paras harga 1.39000 yang dicapainya pada sesi Asia sebelum ini, dengan tumpuan kini tertumpu pada pengumuman Perdana Menteri Boris Johnson pada hari ini.
PM Johnson dijangka akan mengesahkan mengenai rancangan beliau untuk mengangkat semua sekatan di England pada 19 Julai, dan memberi peringatan kepada rakyatnya supaya sentiasa berhati-hati dengan kebebasan yang diberikan.
Sementara itu, euro kekal didagangkan stabil ketika US dolar mencatat kenaikan sederhana menjelang penerbitan data inflasi AS pada hari Selasa.
Di sisi lain, dolar Aussie terus bergerak lemah, ditekan oleh kemungkinan bahawa sekatan coronavirus di Sydney akan berlanjutan berikutan peningkatan kes jangkitan sehingga 45%.
Kekhuatiran terhadap perlambatan pemulihan ekonomi di China turut mempengaruhi sentimen. People’s Bank of China (PBOC) terdahulu mengumumkan pemotongan kadar faedah untuk bank bagi merangsang ekonomi.