Pegangan terhadap safe-haven perlahan-lahan dilepaskan oleh pelabur berikutan kebimbangan terhadap varian coronavirus Omicron semakin mereda, sekali gus memberi keuntungan buat matawang sensitif risiko untuk kembali meningkat.
Matawang sensitif risiko, terutamanya dolar Aussie yang menyambut baik kenyataan Bank Pusat Australia (RBA) yang optimis dengan berhati-hati tentang Omicron walaupun tidak membuat sebarang perubahan dasar.
Dolar Aussie meningkat 0.5% pada 0.7090 berbanding US dolar susulan keputusan ini, selepas bank pusat meningkatkan prospek terhadap pemulihan ekonomi Australia pada separuh pertama tahun 2022.
Sementara matawang gergasi US dolar pula kekal didagangkan stabil, menyaksikan indeks dolar meningkat pada 96.40 berbanding pesaing utamanya selepas sesi menyuramkan pada sesi sebelum ini.
Keyakinan pelabur untuk pengetatan dasar monetari lebih awal dari Federal Reserve (Fed) AS terus memberi kekuatan buat dolar greenback untuk mempertahankan kedudukannya di puncak tertinggi.
Dalam pada itu, matawang euro kembali susut dari kenaikan yang dicatatkan, dengan tumpuan kini beralih kepada penerbitan data sentimen ekonomi Jerman tinjauan ZEW pada jam 6 petang (waktu Malaysia).
Matawang pound juga merosot, memadamkan keuntungan yang diraih pada sesi sebelum ini, membawanya didagangkan pada 1.3260 berbanding USD.
Selain itu, dolar Kanada mendapat sokongan daripada harga minyak mentah dunia yang kembali bangkit dari kejatuhan minggu lalu. Loonie diniagakan 0.3% lebih tinggi berbanding greenback, dengan diniagakan pada sekitar harga 1.2716.