Sesi Eropah bermula tenang dengan kebanyakan matawang utama perlahan-lahan mendaki selepas ditolak jatuh oleh dolar greenback pada sesi sebelum ini.
Kenyataan dari seorang pegawai tertinggi Federal Reserve (Fed) pada hari Rabu mengenai dasar monetari semasa dan pengambilan untung oleh pelabur, telah memberi US dolar sokongan jangka pendek.
Naib Pengerusi Fed untuk Pengawasan, Randal Quarles mengatakan bahawa penting bagi bank pusat AS untuk memulakan perbincangan dalam beberapa bulan akan datang, mengenai rancangan untuk mengurangkan pembelian bonnya.
Ini telah mendorong matawang pound ke paras terendah sejak satu minggu pada sesi Asia, sebelum ia kembali stabil dengan didagangkan di sekitar 1.41200 pada awal sesi Eropah.
Sementara itu, matawang euro kembali bergelut untuk mencatatkan kenaikan, di tengah-tengah sentimen yang masih lagi berpihak pada dolar greenback.
Penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS akan menjadi tumpuan utama pasaran mala mini, selain perhatian turut ditumpukan kepada data tuntutan pengangguran yang diramalkan akan terus menurun.
Dolar New Zealand terus didagangkan lebih kuat setelah unjuran oleh Bank Pusat New Zealand (RBNZ) yang dikeluarkan memberi isyarat hawkish bahawa kadar faedah akan dinaikkan pada pertengahan tahun depan.
Laporan terbaru mengenai perbualan pertama Amerika dan China mengenai perdagangan di bawah era Presiden Joe Biden nampaknya tidak memberi sebarang impak buat matawang Asia, dengan dolar Aussie didagangkan sedikit berubah berbanding US dolar.