Memasuki sesi Eropah, dolar Amerika terus didagangkan menguat di tengah-tengah sentimen pasaran yang masih lagi berisiko, dihimpit oleh kebimbangan terhadap lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Ketika penulisan, indeks dolar sedikit susut pada 93.00, tetapi kekal kukuh selepas menyentuh paras ketinggian terbaru sejak awal April, pada permulaan sesi di sekitar 93.18.
Sementara hasil Perbendaharaan AS 10 tahun pula mula meningkat semula ke sekitar tahap 1.25%, kembali bangkit dari paras terendah lima bulan yang dicapai pada 1.13%.
Kebimbangan terhadap penularan varian virus Delta yang sangat cepat di seluruh dunia sehingga mendorong peningkatan kes jangkitan yang tinggi, terus menyokong permintaan greenback sebagai safe haven.
Sementara itu, pada awal sesi, matawang euro jatuh ke paras terendah terbaru tiga bulan mencerminkan keresahan pelabur menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada hari Khamis, selain turut terkesan dengan pengukuhan US dolar.
Matawang pound pula terus didagangkan suram selepas menyentuh paras terendah 5 setengah bulan, ditekan oleh kekuatan dolar greenback di tengah meningkatnya kes jangkitan Covid-19 di UK.
Ketidakpastian dalam drama Brexit turut menekan matawang pound, berikutan perselisihan faham yang masih wujud antara Kesatuan Eropah (EU) dan UK mengenai isu protokol di Ireland Utara.
Di sisi lain, dolar Aussie juga didagangkan lebih lemah setelah Australia melaporkan penurunan yang mengecewakan dalam bacaan data jualan runcit, ditambah pula dengan laporan mengenai kes coronavirus yang terus meningkat di bandar-bandar terbesar negara itu.