Harga emas susut lebih rendah pada hari Khamis, ketika permintaan terhadap logam berharga itu berkurang berikutan peningkatan semula hasil bon perbendaharaan AS.
Logam kuning itu berlegar di sekitar harga $1,800 per auns pada sesi Asia, dengan niaga hadapan emas diniagakan susut pada $1,798 per auns.
Hasil bon 10 tahun AS kembali meningkat pada 1.3%, dari paras terendah lima bulan susulan lelongan bon 20 tahun yang lemah. Hasil bon yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang memegang emas tanpa faedah.
Sementara matawang US dolar pula sedikit susut selepas menyentuh paras ketinggian tiga setengah bulan pada Rabu, namun kekal didagangkan mengukuh berbanding pesaing utamanya.
Bagaimanapun, pelabur tetap berhati-hati dengan risiko mengenai coronavirus yang masih membelenggu pasaran berikutan angka kes jangkitan yang terus menunjukkan peningkatan di seluruh dunia.
Peluang emas meningkat juga tersekat selepas anggota Dewan Senat AS menyekat langkah untuk membuka perdebatan mengenai pakej infrastruktur bipartisan bernilai $1.2 trilion yang menjadi keutamaan Presiden Joe Biden pada hari Rabu.