Harga emas sedikit berubah pada hari Selasa ketika pelabur menumpukan perhatian kepada keterangan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell pada awal pagi Rabu.
Spot emas diniagakan menyusut di sekitar harga $1,781 per auns pada awal sesi Eropah, setelah meningkat pada hari Isnin berikutan kemerosotan dalam hasil bon AS 10 tahun.
Namun begitu, penurunan yang dicatatkan tidak bertahan lama, selepas penanda aras hasil bon kembali memaparkan kenaikan pada hari ini, dengan meningkat menghampiri tahap 1.5%.
Jerome Powell dalam ucapan bertulis yang disiapkan untuk keterangannya di hadapan Jawatankuasa Kecil mengenai Krisis Coronavirus, mengatakan bahawa ekonomi terus menunjukkan peningkatan berterusan dari kesan pandemik Covid-19, dengan kenaikan dalam pasaran pekerjaan dan inflasi.
Bagaimanapun, menurut Powell, inflasi harus dikembalikan ke arah sasaran 2% Fed setelah ketidakseimbangan penawaran diselesaikan.
Pelabur akan mengikuti pendengaran tersebut untuk pertanyaan-pertanyaan berpotensi yang akan memberi penjelasan lebih mendalam mengenai pandangannya terhadap kadar pemulihan ekonomi dan prospek dasar monetari.